Saturday, December 12, 2009

Kenduri Kahwin dan Jalan-jalan di Johor Bharu

12 Disember 2009- Bermulanya satu perjalanan saya dan rakan-rakan ke Johor Bharu.

Sudah lama saya tidak menjejakkan kaki ke negeri Johor Bharu. Kali terakhir tiba di sana semasa masih bersekolah menengah, rasanya umur saya ketika itu 16 tahun. Pergi ke sana pun bukan berjalan-jalan sangat, sekadar mengikuti bapa menjalankan perniagaan. Okey, saya tidak mahu mengarut, mari kita teruskan dengan aktiviti jalan-jalan ini.

Perjalanan saya dan rakan-rakan iaitu Kak Ann dan Salleh bermula sekitar jam 8.30 pagi. Bertolak dari rumah Kak Ann di Kajang (Salleh sudah mula mengambil alih stereng kereta). Perjalanan hari itu mudah sekali kerana tidak banyak kereta sehingga kelajuan kereta boleh mencecah 170 km/j. Satu rekod baru yang dicatatkan oleh Salleh untuk kereta saya. Savvy de Amore kau memang hebat! Kami hanya berhenti sekali di perhentian (tak ingat nama) untuk sarapan. Masing-masing kelaparan. Kami singgah dalam 30 minit sahaja. Perjalanan diteruskan ke rumah pengantin.

Kami tiba di rumah pengantin dalam pukul 1. Masing-masing sudah lapar (walaupun sarapan pada pukul 11- telur separuh masak yang mengecewakan namun habis juga kerana kelaparan). Niat mahu bertemu pengantin terlebih dahulu terpaksa ditangguhkan demi memenuhi permintaan ibu bapa pengantin yang beria mahu kami makan dahulu. Sedang asyik kami makan, meja kami didatangi rakan sekerja, Kak Ekin, Kak Maria, Jijah dan juga kawan sekolah Kak Ekin baru tiba. Saya, Kak Ann dan Salleh duduk di meja sehingga mereka semua selesai makan. Pastinya tidak duduk sahaja, sesi bergambar juga terselit. Kak Ann mana gambar? Mana... Mana? :p

Tidak lama kemudian kami masuk ke dalam rumah dan mencari bilik pengantin. Terkesima saya melihat pengantin. "Cantiknya, Syura. Lain sangat. Seri pengantin." kata saya dalam hati. Namun, memang saya puji juga di hadapannya. Cantik. Betullah kata orangkan, pengantin ni serinya lain. Bilalah saat saya akan tiba? Harap tidak lama lagilah. Ngeee..

Selepas melihat pengantin bersanding dan menangkap gambar bersama-sama, kami membuka langkah menuju ke kereta dan memulakan langkah pulang ke Kuala Lumpur. Cadangannya mahu singgah ke Melaka, namun terpaksa dibatalkan kerana Kak Ekin dan yang lain mengajak berjalan-jalan ke Danga Bay. Yeah, sampai juga ke Danga Bay yang selama ini hanya didengari melalui corong radio dan televisyen. Jalan-jalan lagi, sempat makan lagi. Mee goreng mamak. Salleh minum air bandung soda. Sedap! Perjalanan diteruskan lagi. Salleh membawa kami ke masjid di Johor. Saya dapat melihat Singapura dari masjid dengan menggunakan teropong. Terima kasih Salleh kerana bertindak bijak dengan membawa teropong. Meneropong sambil memasang angan-angan untuk pergi ke sana. Kumpul-kumpul duit. Beg tangan mahal, minyak wangi mahal, baju mahal, kasut mahal, perlukah saya ucapkan selamat tinggal? TIDAK SANGGUP!

Salleh teruskan memandu bagi pulang ke Kuala Lumpur. Waktu pada waktu itu lebih kurang pukul lapan. Saya ada juga bertanya sama ada mahu menukar pemandu, namun ternyata air bandung soda yang diminum memberi tenaga ekstra pada Salleh. Kami berhenti seketika di R n R di Melaka. Salleh sempat berkata, "Awak drivelah nanti, saya sudah mengantuk." "Baiklah." saya menjawab. Akhirnya, Salleh sudah penat. Mengapalah awak beri pada saya yang juga mengantuk? Namun, saya tetap memandu. Alhamdulillah, mata segar selepas minum minuman orang tua-tua. Kopi 'o' kau telah membantuku dan kawan-kawanku sehingga selamat tiba ke Kuala Lumpur.





No comments:

Post a Comment